.::SeTiap HemBusaN NafaS KeRanA ALLAH::.

.::SeTiap HemBusaN NafaS KeRanA ALLAH::.

Khamis, 27 Januari 2011

SALAHUDDIN AL- AYUBI


SALAHUDDIN al-Ayubi @ Saladin(nama yang diberikan oleh orang eropah) dilahirkan pada 532 Hijrah bersamaan 1138 Masihi di Kota Tarkit iaitu bahagian Tebing Barat Sungai Tigris, terletak di antara Mosul dan Baghdad. Beliau adalah anak gabenor.
Ayahnya, Najmuddin Ayub bin Shadhi adalah anak saudara kepada Sultan Nurudin Zenggi, berketurunan Kurdistan yang berasal dari Azerbaijan. Selain sebagai panglima perang, beliau adalah pendakwah, mujahid dan tokoh pemimpin Islam yang bukan daripada kalangan bangsa Arab.

Salahuddin dibesarkan sama seperti anak-anak orang Kurd biasa (Poole, 1914). Pendidikannya juga seperti orang lain, belajar ilmu-ilmu sains di samping seni peperangan dan mempertahankan diri. Tiada siapapun yang menjangka sebelum ia menguasai Mesir dan menentang tentera Salib bahawa anak Kurd ini suatu hari nanti akan merampas kembali Palestin dan menjadi pembela akidah Islamiah yang hebat. Dan tiada siapa yang menyangka pencapaiannya demikian hebat sehingga menjadi contoh dan perangsang memerangi kekufuran sehingga ke hari ini.
Stanley Lane Poole (1914) seorang penulis Barat menyifatkan Salahuddin sebagai anak seorang governor yang memilliki kelebihan daripada orang lain tetapi tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda ia akan menjadi orang hebat pada masa depan. Akan tetapi ia menunjukkan akhlak yang mulia.
Walau bagaimana pun Allah telah mentakdirkannya untuk menjadi pemimpin besar pada zamannya dan Allah telah menyediakan dan memudahkan jalan-jalannya untuk bakal pemimpin agung itu. Ketika ia menjadi tentera Al-Malik Nuruddin, sultan Aleppo, ia diperintahkan untuk mara ke Mesir. Pada masa itu Mesir diperintah oleh sebuah kerajaan Syi’ah yang tidak bernaung di bawah khalifah. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis bahawa Salahuddin sangat berat dan memaksa diri untuk pergi ke Mesir bagaikan orang yang hendak di bawa ke tempat pembunuhan (Bahauddin, 1234). Tetapi itulah sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan firman Allah, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu.” (Al-Baqarah:216)
Pertukaran Hidup Salahuddin
Apabila Salahuddin menguasai Mesir, ia tiba-tiba berubah. Ia yakin bahawa Allah telah mempertanggungjawabkan kepadanya satu tugas yang amat berat yang tak mungkin dapat dilaksanakan jika ia tidak bersungguh-sungguh. Bahauddin telah menuliskan dalam catatannya bahawa Salahuddin sebaik-baik sahaja ia menjadi pemerintah Mesir, dunia dan kesenagannya telah lenyap dari pandangan matanya. Dengan hati yang rendah dan syukur kepada Allah ia telah menolak godaan-godaan dunia dan segala kesenangannya. (Bahauddin,1234)
Bahkan Stanley Lane Poole(1914) telah menuliskan bahwa Salahuddin mengubah cara hidupnya kepada yang lebih keras. Ia bertambah wara’ dan menjalani hidup yang lebih berdisiplin dan sederhana. Ia mengenepikan corak hidup senang dan memilih corak hidup “Spartan” yang menjadi contoh kepada tenteranya. Ia menumpukan seluruh tenaganya untuk satu tujuan iaitu untuk membina kekuasaan Islam yang cukup kuat untuk menghalau orang kafir dari tanah air Islam. Salahuddin pernah berkata, “Ketika Allah menganugerahkan aku bumi Mesir, aku yakin Dia juga bermaksud Palestin untukku. Ini menyebabkan ia menjuarai perjuangan Islam. Sehubungan dengan ia telah menyerahkan dirinya untuk jalan jihad.
Semangat Jihadnya
Fikiran Salahuddin sentiasa tertumpu kepada jihad di jalan Allah. Bahauddin telah mencatatkan bahawa semangat Salahuddin yang berkobar-kobar untuk berjihad menentang tentera Salib telah menyebabkan jihad menjadi tajuk perbincangan yang paling digemarinya. Ia sentiasa meluahkan seluruh tenaganya untuk memperkuat pasukan tenteranya, mencari mujahid-mujahid dan senjata untuk tujuan berjihad. Jika ada sesiapa yang bercakap kepadanya berkenaan jihad ia akan memberikan sepenuh perhatian. Sehubungan dengan ini ia lebih banyak di dalam khemah perang daripada duduk di istana bersama sanak keluarga. Siapa sahaja yang menggalakkannya berjihad akan mendapat kepercayaannya.
Siapa sahaja yang memerhatikannya akan dapat melihat apabila ia telah memulakan jihat melawan tentera salib ia akan menumoukan seluruh perhatiannya kepada persiapan perang dan menaikkan semangat tenteranya. Dalam medan peperangan ia bagaikan seorang ibu yang garang kehilangan anak tunggal akibat dibunuh oleh tangan jahat. Ia akan bergerak dari satu hujung medan peperangan ke hujung yang lain untuk mengingatkan tenteranya supaya benar-benar berjihad di jalan Allah semata-mata. Ia juga akan pergi ke seluruh pelosok tanah air dengan mata yang berlinang mengajak manusia supaya bangkit membela Islam.
Ketika ia mengepung Acre ia hanya minum, itupun selepas dipaksa oleh doktor peribadinya tanpa makan. Doktor itu berkata bahawa Salahuddin hanya makan beberapa suap makanan semenjak hari Jumaat hingga Isnin kerena ia tidak mahu perhatiannya kepada peperangan terganggu. (Bahauddin, 1234)
Peperangan Hittin
Satu siri peperangan yang sengit telah berlaku antara tentera Salahuddin dengan tentera Salib di kawasan Tiberias di kaki bukit Hittin. Akhirnya pada 24 Rabiul-Akhir, 583 H, tentera Salib telah kalah teruk. Dalam peperangan ini Raja Kristian yang memerintah Palestin telah dapat di tawan beserta adiknya Reginald dari Chatillon. Pembesar-pembasar lain yang dapat ditawan ialah Joscelin dari Courtenay, Humphrey dari Toron dan beberapa orang ternama yang lain. Ramai juga tentera-tentera Salib berpangkat tinggi telah tertawan. Stanley Lane-Poole menceritakan bawaha dapat dilihat seorang tentera Islam telah membawa 30 orang tentera Kristian yang ditawannya sendiri diikat dengan tali khemah. Mayat-mayat tentera Kristian bertimbun-timbun seperti batu di atas batu di antara salib-salib yang patah, potongan tangan dan kaki dan kepala-kepala manusia berguling seperti buah tembikai. Dianggarkan 30,000 tentera Kristian telah mati dalam peperangan ini. Setahun selepas peperangan, timbunan tulang dapat dilihat memutih dari jauh.
Kecintaan Salahuddin Kepada Islam
Peperangan Hittin telah menyerlahkan kecintaan Salahuddin kepada Islam. Stanley Lane-Poole menulis bahawa Salahuddin berkhemah di medan peperangan semasa peperanggan Hittin. Pada satu ketika setelah khemahnya didirikan diperintahkannya tawanan perang dibawa ke hadapannya. Maka dibawalah Raja Palestin dan Reginald dari Chatillon masuk ke khemahnya. Dipersilakan sang Raja duduk di dekatnya. Kemudian ia bangun pergi ke hadapan Reginald lalu berkata, “Dua kali aku telah bersumpah untuk membunuhnya. Pertama ketika ia bersumpah akan melanggar dua kota suci dan kedua ketika ia menyerang jamaah haji. Ketahuilah aku akan menuntut bela Muhammat atasnya”. Lalu ia menghunuskan pedangnya dan memenggal kepala Reginald. Mayatnya kemudian dibawa keluar oleh pengawal dari khemah.
Raja Palestin apabila melihat adiknya dipancung, ia mengeletar kerana menyangka gilirannya akan tiba. Tetapi Salahuddin menjamin tidak akan mengapa-apakannya sambil berkata, “Bukanlah kelaziman seorang raja membunuh raja yang lain, tetapi orang itu telah melanggar segala batas-batas, jadi terjadilah apa yang telah terjadi.”
Tindakan Salahuddin adalah disebabkan kebiadaban Reginald kepada Islam dan Nabi Muhammad. Bahauddin bin Shaddad, penasihat kepercayaan Salahuddin mencatatkan bila jamaah haji dari Palestin diserang dicederakan tanpa belas kasihan oleh Reginald, di antara tawanannya merayu supaya mereka dikasihani. Tetapi Reginald dengan angkuhnya mengatakan, “Mintalah kepada nabi kamu , Muhammad, untuk menyelematkan kamu”. Apabila ia mendapat berita ini ia telah berjanji akan membunuh Reginald dengan tangannya sendiri apabila ia dapat menangkapnya.
Menawan Baitul Muqaddis
Kemenangan peperangan Hittin telah membuka jalan mudah kepada Salahuddin untuk menawan Baitul Muqaddis. Bahauddin telah mencatatkan bahawa Salahuddin sangat-sangat berhajat untuk menawan baitul Muqaddis hinggakan bukitpun akan mengecut dari bebanan yang dibawa di dalam hatinya.
Pada hari Jumaat, 27 Rajab, 583H, iaitu pada hari Isra’ Mi’raj, Salahuddin telah memasuki banda suci tempat Rasulullah saw. naik ke langit. Dalam catatan Bahauddin ia menyatakan inilah kemengan atas kemengang. Ramai orang yang terdiri dari ulama, pembesar-pembesar, peniaga dan orang-prang biasa datang meraikan gembira kemenangan ini. Kemudiannya ramai lagi orang datang dari pantai dan hampir semua ulama-ulama dari Mesir dan Syria datang untuk mengucapkan tahniah kepada Salahuddin. Boleh dikatakan hampir semua pembesar-pembesar datang. Laungan “Allahhu Akbar” dan “Tiada tuhan melainkan Allah” telah memenuhi langit. Selepas 90 tahun kini sembahyang Jumaat telah diadakan semula di Baitul Muqaddid. Salib yang terpampang di ‘Dome of Rock’ telah diturunkan. Betapa hebatnya peristiwa ini tidak dapat digambarkan. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa hebatnya hari itu.
Salahuddin yang Penyayang
Sifat penyayang dan belas kasihan Salahuddin semasa peperangan ini sangat jauh berbeza daripada kekejaman musuh Kristiannya. Ahli sejarah Kristian pun mengakui hal ini. Lane-Poole mengesahkan bahwa kebaikan hati Salahuddin telah mencegahnya daripada membalas dendam. Ia telah menuliskan yang Salahuddin telah menunjukkan ketiggian akhlaknya ketika orang-orang Kristian menyerah kalah. Tenteranya sangat bertanggungjawab, menjaga peraturan di setiap jalan, mencegah segala bentuk kekerasan hinggakan tiada kedengaran orang-orang Kristian dipersalah-lakukan. Semua jalan keluar-masuk ke Baitul Muqaddis di tangannya dan seorang yang amanah telah dilantik di pintu Nabi Daud untuk menerima wang tebusan daripada orang-orang Kristian yang ditawan.
Lane-Poole juga telah menuliskan bahawa Salahuddin telah mengatakan kepada pegawainya, “Adikku telah membuat infak, Padri besar pun telah benderma. Sekarang giliranku pula”. Lalu ia memerintahkan pegawainya mewartakan di jalan-jalan Jerusalem bahawa sesiapa yang tidak mampu membayar tebusan boleh dibebaskan. Maka berbondong-bondonglah orang keluar dari pintu St. Lazarus dari pagi hingga ke malam. Ini merupakan sedekah Salahuddin kepada orang miskin tanpa mengidar bilangan mereka.
Selanjutnya Lane-Poole menuliskan bagaimana pula tindak-tanduk tentera Kristian ketika menawan Baitul Muqaddis kali pertama pada tahun 1099. Telah tercatat dalam sejarah bahawa ketika Godfrey dan Tancred menunggang kuda di jalan-jalan Jerusalem jalan-jalan itu ‘tersumbat’ dengan mayat-mayat, orang-orang Islam yang tidak bersenjata disiksa, dibakar dan dipanah dari jarak dekat di atas bumbung dan menara rumah-rumah ibadah. Darah yang membasahi bumi yang mengalir dari pembunuhan orang-orang Islam secara beramai-ramai telah mencermarkan kesucian gereja di mana sebelumnya kasih sayang sentiasa diajarkan. Maka sangat bernasip baik orang-orang Kristian apabila mereka dilayan dengan baik oleh Salahuddin.
Lane-Poole juga menuliskan, jika hanya penaklukan Jerusalem sahaja yang diketahui mengenai Salahuddin, maka ia sudah cukup membuktikan dialah seorang penakluk yang paling penyantun dan baik hati di zamannya bahkan mungkin di sepanjang zaman.
Perang Salib Ketiga
Perang Salib pertama ialah kejatuhan Palestin kepada orang-orang Kristian pada tahun 1099 (490H) manakal yang kedua telah dimenangi oleh Salahuddin dalam peperangan Hittin pada tahun 583H (1187M) di mana beberapa hari kemudian ia telah menawan Baitul Muqaddis tanpa perlawanan. Kekalahan tentera Kristian ini telah menggegarkan seluruh dunia Kristian. Maka bantuan dari Eropah telah dicurahkan ke bumi Palestin. Hampir semua raja dan panglima perang dari dunia Kristian seperti Fredrick Barbossa raja Jerman, Richard The Lion raja England, Philips Augustus raja Perancis, Leopold dari Austria, Duke of Burgundy dan Count of Flanders telah bersekutu menyerang Salahuddin yang hanya dibantu oleh beberapa pembesarnya dan saudara maranya serta tentaranya untuk mempertahankan kehormatan Islam. Berkat pertolongan Allah mereka tidak dapat dikalahkan oleh tentera bersekutu yang besar itu.
Peperangan ini berlanjutan selama 5 tahun hingga menyebabkan kedua belah pihak menjadi lesu dan jemu. Akhirnya kedua belah pihak bersetuju untuk memuat perjanjian di Ramla pada tahun 588H. Perjanjian ini mengakui Salahuddin adalah pengusa Palestin seluruhnya kecuali bandar Acra diletakkan di bawah pemerintahan Kristian. Maka berakhirlah peperangan Salib ketiga.
Lane-Poole telah mencatatkan perjajian ini sebagai berakhirnya Perang Suci yang telah berlajutan selama 5 tahun. Sebelum kemenangan besar Hittin pada bulan Julai, 1187M, tiada satu inci pun tanah Palestin di dalam tangan orang-orang Islam. Selepas Perjanjian Ramla pada bulan September, 1192M, keseluruhanya menjadi milik meraka kecuali satu jalur kecil dari Tyre ke Jaffa. Salahuddin tidak ada rasa malu apapun dengan perjanjian ini walaupun sebahagian kecil tanah Palestin masih di tangan orang-orang Kristian. Atas seruan Pope, seluruh dunia Kristian telah mengangkat senjata. Raja England, Perancis, Sicily dan Austria serta Duke of Burgundy, Count of Flanders dan beratus-ratus lagi pembesar-pembesar telah bersekutu membantu Raja dan Putra Mahkota Palestin untuk mengembalikan kerajaan Jerusalem kepada pemerintahan Kristian. Walau bagaimana pun ada raja yang mati dan ada yang balik dan sebahagian pembesar-pembesar Kristian telah terkubur di Tanah Suci itu, tetapi Tanah Suci itu masih di dalam tangan Salahuddin.
Selanjutnya Lane-Poole mencatatkan, seluruh kekuatan dunia Kritian yang telah ditumpukan dalam peperangan Salib ketiga tidak mengoyangkan kekuatan Salahuddin. Tenteranya mungkin telah jemu dengan peperangan yang menyusahkan itu tetapi mereka tidak pernah undur apabila diseru untuk menjualkan jiwa raga mereka di jalan Tuhan. Tenteranya yang berada jauh di lembah Tigirs di Iraq mengeluh dengan tugas yang tidak henti-henti, tetapi ketaatan meraka yang tidak pernah berbelah bagi. Bahkan dalam peperangan Arsuf, tenteranya dari Mosil (sebuah tempat di Iraq) telah menunjukkan ketangkasan yang hebat. Dalam peperangan ini, Salahuddin memang boleh memberikan kepercayaan kepada tentra-tenteranya dari Mesir, Mesopotamia, Syria, Kurds, Turkmans, tanah Arab dan bahkan orang-orang Islam dari mana-mana sahaja. Walaupun mereka berlainan bangsa dan kaum tetapi Salahuddin telah dapat menyatukan mereka di atas jalan Tuhan daripada mula peperangan pada tahun 1187 hinggalah berakhirnya pada tahun 1192.
Lane-Poole juga menuliskan dalam peperangan ini Salahuddin sentiasa syura. Ia mempunyai majlis syura yang membuat keputusan-keputusan ketenteraan. Kadang-kadang majlis ini membatalkan keputusan Salahuddin sendiri. Dalam majlis ini tiada siapa yang mempunyai suara lebih berat tiada siapa yang lebih mempengaruhi fikiran Salahuddin. Semuanya sama sahaja. Dalam majlis itu ada adiknya, anak-anaknya, anak saudaranya, sahabat-sahabat lamanya, pembesar-pembesar tentera, kadi, bendahari dan setiausaha. Semuanya mempunyai sumbangan yang sama banyak dalam membuat keputusan. Pendeknya semuanya menyumbang dalam kepakaran masing-masing. Walau apa pun perbincangan dan perdebatan dalam majlis itu, mereka memberikan ketaatan mereka kepada Salahuddin.
Wafatnya Salahuddin
Pada hari Rabu, 27 Safar, 589H, pulanglah Salahuddin ke rahmatullah selepas berhempas pulas mengembalikan tanah air Islam pada usia 57 tahun. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis mengenai hari-hari terakhir Salahuddin. Pada malam 27 Safar, 12 hari selepas ia jatuh sakit, ia telah menjadi sangat lemah. Syeikh Abu Ja’afar seorang yang wara’ telah diminta menemani Salahuddin di Istana supaya jika ia nazak, bacaan Qur’an dan syahadah boleh diperdengarkan kepadanya. Memang pada malam itu telah nampak tanda-tanda berakhirnya hayat Salahuddin. Syeikh Abu Jaafar telah duduk di tepi katilnya semenjak 3 hari yang lepas membacakan Qur’an. Dalam masa ini Salahuddin selalu pingsan dan sedar sebentar. Apabila Syeikh Au Jaafar membacakan ayat, “Dialah Allah, tiada tuhan melainkan Dia, Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata” (Al-Hasyr: 22), Salahuddin membuka matanya sambil senyum, mukanya berseri dan denga nada yang gembira ia berkata, “Memang benar”. Selepas ia mengucapkan kata-kata itu rohnya pun kembali ke rahmatullah. Masa ini ialah sebelum subuh, 27 Safar.
Seterusnya Bahauddin menceritakan Salahuddin tidak meninggalkan harta kecuali satu dinar dan 47 dirham ketika ia wafat. Tiada rumah-rumah, barang-barang, tanah, kebun dan harta-harta lain yang ditinggalkannya. Bahkan harta yang ditinggalkannya tidak cukup untuk kos pengkebumiannya. Keluarganya terpaksa meminjam wang untuk menanggung kos pengkebumian ini. Bahkan kain kafan pun diberikan oleh seorang menterinya.
Salahuddin yang Wara’
Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah mencatatkan berkenaan kewarakan Salahuddin. Satu hari ia berkata bahawa ia telah lama tidak pergi sembahyang berjemaah. Ia memang suka sembahyang berjemaah, bahkan ketika sakitnya ia akan memaksa dirinya berdiri di belakang imam. Disebabkan sembahyang adalah ibadah utama yang diasaskan oleh Rasulullah saw, ia sentiasa mengerjakan sembahyang sunnat malam. Jika disebabkan hal tertentu ia tidak dapat sembahyang mala, ia akan menunaikannya ketika hampir subuh. Bahauddin melihatnya sentiasa sembahyang di belakang imam ketika sakitnya, kecuali tiga terakhir di mana ia telah tersangat lemah dan selalu pingsan. Tetapi ia tidak pernah tinggal sembahyang fardhu. Ia tidak pernah membayar zakat kerana ia tidak mempunyai harta yang cukup nisab. Ia sangat murah hati dan akan menyedekahkah apa yang ada padanya kepada fakir miskin dan kepada yang memerlukan hinggakan ketika wafatnya ia hanya memiliki 47 dirham wang perak dan satu dinar wang emas. Ia tidak meninggalkan harta.
Bahauddin juga mencatatkan bahawa Salahuddin tidak pernah meninggalkan puasa Ramadhan kecuali hanya sekali apabila dinasihatkan oleh Kadi Fadhil. Ketika sakitnya pun ia berpuasa sehinggalah doktor menasihatkannya dengan keras supaya berbuka. Lalu ia berbuka dengan hati yang berat sambil berkata, “Aku tak tahu bila ajal akan menemuiku”. Maka segera ia membayar fidyah.
Dalam catatan Bahauddin juga menunjukkan Salahuddin teringin sangat menunaikan haji ke Mekah tetapi ia tidak pernah berkesempatan. Pada tahun kewatannya, keinginannya menunaikan haji telah menjadi-jadi tetapi ditakdirkan.
Ia sangat gemar mendengar bacaan Qur’an. Dalam medan peperangan ia acap kali duduk mendegar bacaan Qur’an para pengawal yang dilawatnya sehingga 3 atau 4 juzu’ semalam. Ia mendengar dengan sepenuh hati dan perhatian sehingga air matanya membasahi dagunya. Ia juga gemar mendengar bacaan hadis Rasulullah saw. Ia akan memerintahkan orang-orang yang bersamanya duduk apabila hadis dibacakan. Apabila ulama hadis datang ke bandar, ia akan pergi mendengar kuliahnya. Kadang kadang ia sendiri membacakan hadis dengan mata yang berlinang. Dalam peperangan kadang-kadang ia berhenti di antara musuh-musuh yang datang untuk mendegarkan hadis-hadis dibacakan kepadanya. Ia juga sangat berpegang teguh kepada rukun iman hinggakan ia telah mengarahkan anaknya al-Malik al-Zahir membunuh Suhrawady yang membawa ajaran sesat.
Salahuddin sangat yakin dan percaya kepada pertolongan Allah. Ia biasa meletakkan segala harapannya kepada Allah terutama ketika dalam kesusahan. Pada satu ketika ia berada di Jerusalem yang pada masa itu seolah-olah tidak dapat bertahan lagi daripada kepungan tentera bersekutu Kristian. Walaupun keadaan sangat terdesak ia enggan untuk meninggalkan kota suci itu. Malam itu adalah malam Jumaat musim sejuk. Bahaauddin mencatatkan, “Hanya aku dan Salahuddin sahaja pada masa itu. Ia menghabiskan masa malam itu dengan bersembahyang dan munajat. Pada tengah malam saya minta supaya ia berehat tetapi jawanya, “Ku fikir kau mengantuk. Pergilah tidur sejenak”. Bila hampis subuh akupun bangun dan pergi mendapatkannya. Aku dapati ia sedang membasuh tangannya. “Aku tidak tidur semalam” katanya. Selepas sembahyang subuh aku berkata kepadanya, “Kau kena munajat kepada Allah memohon pertolongan-Nya”. Lalu ia bertanya, “Apa yang perlu ku lakukan?”
Aku menjawab, “Hari ini hari Jumaat. Engkau mandilah sebelum pergi ke masjid Aqsa. Keluarkanlah infaq dengan senyap-senyap. Apabila kau tiba di masjid, sembahyanglah dua rakaat selepas azan di tempat Rasulullah saw pernah sembahyang sebelum mi’raj dahulu. Aku pernah membaca hadis doa yang dibuat di tempat itu adalah mustajab. Oleh itu kau bermunajadlah kepada Allah dengan ucapan “Ya Tuhanku, aku telah kehabisan segala bekalanku. Kini aku mohon pertolongan-Mu. Aku menyerahkan diriku kepada-Mu. Aku yakin hanya Engkau sahaja yang boleh menolongku dalam keadaan yang genting ini.”
Aku mengatakan kepadanya, “Aku sangat berharap Allah akan mengkabulkan doamu”. Lalu Salahuddin melakukan apa yang ku usulkan. Aku berada di sebelahnya ketika dahinya mencecah bumi sambil menangis hingga air matanya mambasahi janggutnya dan menitik ke tempat sembahyang. Aku tidak tahu apa yang didoakannya tetapi aku melihat tanda-tanda doanya dikabulkan sebelum hari itu berakhir. Perbalahan berlaku di antara musuh-musuh yang menatijahkan berita baik bagi kami beberapa hari kemudian. Akhirnya mereka membuka khemah-khemah mereka dan berangkat ke Ramla pada hari Isnin pagi.”
Perangai Salahuddin
Siapa yang rapat dengannya mengatakan ia adalah seorang Islam yang taat kepada Allah, sangat peka kepada keadilan, pemurah, lembut hati, sabar dan tekun. Bahauddin bin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah mencatatkan ia telah memberikan masa untuk rakyat dua kali seminggu, iaitu pada hari Isnin dan Selasa. Pada masa ini ia disertai oleh pembesar-pembesar negara, ulama dan kadi. Semua orang boleh berjumpa dengannya. Ia sendiri akan membacakan aduan yang diterimanya dan mengucapkan untuk dituliskan oleh juru tulis tindakan yang perlu diambil dan terus ditandatanganinya pada masa itu juga. Ia tidak pernah membenarkan orang meninggalkannya selagi ia belum menyempurnakan hajat orang itu. Dalam masa yang sama ia sentiasa bertasbih kepada Allah.
Jika ada orang membuat aduan, ia akan mendegarkan dengan teliti dan kemudian memberikan keputusannya. Sauatu hari seorang lelaki telah membuat aduan berkenaan Taqiuddin, anak saudaranya sendiri. Dengan segera ia memanggil anak saudaranya itu dan meminta penjelasan. Dalam ketika yang lain ada orang yang membuat tuduhan kepada Salahuddin sendiri. Yang memerlukan penyiasatan. Walaupun tuduhan orang itu didapati tidak berasas, ia telah menghadiahkan orang itu sehelai jubah dan beberapa pemberian yang lain.
Ia adalah seorang yang mulia dan baik hati, lemah lembut, penyabar dan sangat benci kepada ketidak adilan. Ia sentiasa mengabaikan kesilapan-kesilapan pembantu-pembantu dan khadam-khadamnya. Jika mereka melakukan kesilapan yang memanaskan hatinya, ia tidak pernah menyebabkan kemarahannya menjatuhkan air muka mereka. Pada suatu ketika ia pernah meminta air minum, tetapi entah apa sebabnya air itu tidak diberikan kepadanya. Ia meminta sehingga lima kali lalu berkata, “Aku hampir mati kehausan”. Ia kemudian meminum air yang dibawakan kepadanya tanpa menunjukkan kemarahan. Dalam ketika yang lain ia hendak mandi selepas mengalami sakit yang agak lama. Didapatinya air yang disediakan agak panas, lalu ia meminta air sejuk. Sebanyak dua kali khadamnya menyebabkan air sejuk terpercik kepadanya. Disebabkan ia belum benar-benar sihat, ia merasa kesejukan tetapi ia hanya berkata kepada khadamnya, “Cakap sajalah kalau kau tak suka kepadaku”. Lalu khadam itu cepat-cepat minta maaf dan Salahuddin terus memaafkannya.
Bahauddin juga telah mencatatkan beberapa peristiwa yang menunjukkan sifat pemurah dan baik hati Salahuddin. Kadang-kadang kawasan yang baru ditawannya pun diberikannya kepada pengikutnya. Satu ketika ia telah berjaya menawan bandar ‘Amad. Lalu seorang perwira tentera, Qurrah Arslan, menyatakan keinginannya untuk memerintah bandar itu. Dengan senang hati ia memberikannya. Bahkan dalam beberapa ketika ia menjualkan hartanya semata-mata untuk membeli hadiah. Melihat betapa pemurahnya Salahuddin, bendaharinya selalu merahsiakan baki wang simpanan untuk digunakan semasa kecemasan. Jika ia tahu, ia akan menyedekahkan khazanah negara sehingga habis. Salahuddin pernah mengatakan ada orang baginya wang dan debu sama sahaja. “Aku tahu”, kata Bahauddin, “Ia mengatakan dirinya”.
Salahuddin tidak pernah membiarkan tetamunya meninggalkannya tanpa hadiah atau sebarang bentuk pemberian tanda penghargaan, walaupun tamunya itu seorang kafir. Raja Saida pernah melawat Salahuddin dan ia menyambutnya dengan tangat terbuka, melayannya dengan hormat dan mengambil kesempatan menerangkan Islam. Bahkan Salahuddin sentiasa mengirimkan ais dan buah-buahan kepada Richard the Lion, musuh ketatnya, ketika Raja inggeris itu sakit.
Hatinya memang sangat lembut hingga ia sangat mudah terkesan apabila melihat orang dalam kesusahan dan kesedihan. Suatu hari seorang perempuan Kristian datang mengadu kehilangan bayinya. Perempuan itu menangis dan meraung di depan Salahuddin sambil menceritakan bayinya dicuri dari khemahnya. Perempuan itu seterusnya mengatakan ia telah dimaklumkan hanya Salahuddin sahaja yang boleh mendapatkan bayi itu kembali. Hatinya tersentuh mendengar cerita perempuan itu lalu iapun turut menangis. Ia segera memerintahkan pegawai-pegawainya mencari bayi itu di pasar hamba-sahaya. Tidak lama kemudian bayi itu telah dapat dibawa kembali lalu dengan rasa gembira mendoakan kesejahteraan Salahuddin.
Bahauddin juga mencatatkan Salahuddin sangat kasihan belas kepada anak-anak yatim. Bila ia terjumpa anak-anak yatim ia akan menguruskan supaya ada orang menjadi penjaga anak itu. Kadang-kadang ia sendiri yang akan menjaga dan membesarkan anak yatim yang ditemuinya. Ia juga sangat kasihan melihat orang tua atau yang kurang upaya dan akan memberikan penjagaan yang khas kepada mereka apabila ia bertemu dengan orang sedemikian.
Kesungguhan dan Semangat
Ketika mengepung bandar Acre, Bahauddin mencatatkan bahawa Salahuddin mengidap sakit kuat yang mengebabkan beliau sangat susah untuk bangun. Meskipun demikian, ia keluar menunggang kudanya untuk memeriksa angkatan tenteranya. Bahauddin bertanya kepadanya bagaimana ia boleh menahan sakitnya. Maka Salahuddin menjawab, “Penyakit akan peninggalkanku apabila kamu menunggang kuda”.
Dalam ketika yang lain ia sebenarnya dalam keadaan yang lemah akibat sakit tetapi pergi memburu musuh sepanjang malam. “Apabila ia sakit”, kata Bahauddin, “Aku dan doktor akan bersamanya sepanjang malam. Ia tidak dapat tidur akibat menahan sakit, tetapi apabila pagi menjelang, ia akan menunggang kuda untuk melawan musuh. Ia menghantar anak-anaknya ke medan perang sebelum memerintahkan orang lain berbuat demikian. Aku dan doktornya bersamanya sepanjang hari menunggang kuda sehinggalah musuh berundur apabila senja menjelang. Ia hanya akan kembali ke khemah selepas memberikan arahan untuk kawalan keselamatan pada waktu malam”.
Dalam kesungguhan, semangat dan ketahanan rasanya tiada siapa yang boleh menandingi Salahuddin. Kadang-kadang ia sediri pergi ke kawasan perkhemahan tentera musuh bersama perisik-perisiknya sekali bahkan dua kali sehari. Ketika berperang ia sendiri akan pergi merempun celah-celah tentera musuh yang sedang mara. Ia sentiasa mengadakan pemeriksaan ke atas setiap tenteranya dan memberikan arahan kepada panglima-panglima tenteranya. Bahauddin ada mencatatkan satu kisah yang menunjukkan betama beraninya Salahuddin. Salahuddin diberitahu bahawa ia selalu mendengar bacaan hadis pada masa lapang bukannya ketika perang. Apabila mendengar perakara ini ia segera mengarahkan supaya hadis-hadis dibacakan kepadanya ketiak peperangan sedang berkecamuk dengan sengitnya.
Salahuddin tidak pernah gentar dengan ramainya tentera Salib yang datang untuk menentangnya. Dalam bebeerapa ketika, tentera Salib berjumah sehingga 600,000 orang, tetapi Salahuddin menghadapinya dengan tentera yang jauh lebih sedikit. Berkat pertolongan Allah ia menang, membunuh ramai musuh dan membawa ramai tawanan. Ketika mengepung Acre, pada satu petang lebih dari 70 kapal tentera musuh beserta senjata berat mendarat pada satu petang. Boleh dikatakan semua orang merasa gentar kecuali Salahuddin. Dalam satu peperangan yang sengit semasa kepungan ini, serangan mendadak besar-besaran dari musuh telah menyebabkan tentera Islam kelam kabut. Tentera musuh telah merempuh khemah-khemat tentera Islam bahkan telah sampai ke khamah Salahuddin dan mencabut benderanya. Tetapi Salahuddin bertahan dengan teguhnya dan berjaya mengatur tenteranya kembali sehingga ia berjaya membalikkan kekalahan menjadi kemenangan. Musuh telah kalah teruk dan berundur meninggalkan lebih kurang 7,000 mayat-mayat.
Bahauddin ada mencatatkan betapa besarnya cita-cita Salahuddin. Suati hari Salahuddin pernah berkata kepadanya, “Aku hendak beri tahu padamu apa yang ada dalam hatiku. Apabila Allah mentakdirkan seluruh tanah suci ini di bawah kekuasaanku, aku akan serahkan tanah-tanah kekuasaanku ini kepada anak-anakku, ku berikan arahan-arahanku yang terakhir lalu ku ucapkan selamat tinggal. Aku akan belayar untuk menaklukkan pulau-pulau dan tanah-tanah. Aku tak akan meletakkan senjata ku selagi masih ada orang-orang kafir di atas muka bumi atau jika ajalku sampai”.
Salahuddin Sebagai Ulama’
Salahuddin memiliki asas pengetahuan agama yang kukuh. Ia juga mengetahui setiap suku-suku kaum Arab dan adat-adat mereka. Bahkan ia mengetahui sifat-sifat kuda Arab walaupun ia sebenarnya orang Kurd. Ia sangat gemar mengumpulkan pengeatahuan dan maklumat dari kawan-kawannya dan utusan-utusannya yang sentiasa berjalan dari satu penjuru ke satu penjuru negerinya. Di samping Qur’an ia juga banyak menghafal syair-syair Arab.
Lane-Poole juga ada menuliskan bahawa Salahuddin berpengetahuan yang dalam dan gemar untuk mendalami lagi bidang-bidang akidah, ilmu hadis serta sanad-sanad dan perawi-perawinya, syariah dan usul fiqh dan juga tafsir Qur’an

Balasan Melewatkan Waktu Solat

Suatu cerita yang telah berlaku beberapa tahun dulu di Makkah. Kisah benar iaitu kisah yang boleh kita renungkan bersama serta jadikan panduan dalam diri kita ini. Kisah yang anda baca ini bukannya datang dari majalah Mastika atau majalah-majalah tabloid tetapi kisah dari tanah perkuburan Sa’raya, Makkah.


Pada beberapa tahun dahulu ada seorang perempuan yang berumur 40 an telah meninggal dunia. Mereka telah mengusung jenazah beliau untuk dikebumikan di tanah perkuburan Al Ma’ala yakni lebih kurang 2 kilometer dari Masjidil Haram selepas solat zuhur. Apabila sampai sahaja di tanah perkuburan tersebut, alangkah terperanjatnya mereka bila mendapati se ekor ular yang berwarna Hitam sebesar peha bersisik tebal telah berada di dalam liang lahat (dalam kubur tersebut). Subhanallah … keadaan ular tersebut amat menggerunkan. 


Mereka pun terus berlalu dari situ dan membawa jenazah wanita tersebut ke tanah perkuburan yang lain yakni di tanah perkuburan Sa’raya lebih kurang setengah jam memandu dari situ (8 km Jauhnya) . Apabila mereka sampai di tanah perkuburan tersebut, rupa-rupanya Ular Hitam yang sama juga telah menunggu jenazah wanita yang ingin dikebumikan di situ. Allahuakbar...mereka mengambil keputusan untuk memindahkan serta mengangkat ular tersebut dan letakkan di luar yakni berjauhan sedikit dari kawasan tersebut dan mengkebumikan jenazah wanita itu (yang peliknya Ular Hitam itu tidak melakukan apa-apa bila disentuh oleh mereka). 


Selepas sahaja mereka mengkebumikan mayat wanita itu, tiba-tiba Ular Hitam yang diletakkan berjauhan dari situ terus datang menjalar dengan pantas dan masuk meluru ke dalam kubur wanita itu. MasyaAllah (seperti menjunam ke dalam swimming pool dari atas – keadaan sewaktu ular itu masuk ke dalam kubur). Dengan beberapa seketika mereka mendengar bunyi seperti dahan-dahan pokok yang dipatah patahkan dan apabila mereka melihat ke dalam kubur wanita tersebut, alangkah terperanjatnya kerana Ular Hitam sedang membelit jenazah wanita itu serta mematah matahkan tulang jenazah itu … 


Subhanallah.Ada beberapa orang yang berada di persekitaran kubur itu turut pengsan melihat kejadian itu. Selepas diselidiki kenapa perkara tersebut boleh terjadi, rupa-rupanya sewaktu hayatnya, wanita tersebut suka melewat lewatkan Solatnya.


Marilah kita ambil iktibar dan pedoman dari kejadian ini. Semoga Allah swt kuatkan iman kita dalam mendirikan solat 5 waktu daripada gangguan syaitan dan iblis insyaAllah. Ini baru seksaan di dunia akibat melewatkan solat….Bagaimana agaknya jika kita tidak mengerjakan solat…..


Sumber:
pali@Muadzin studio

Rabu, 26 Januari 2011

Al Imam Hasan Al Banna

<<<<< masanya memilih jalan yang lurus >>>>>

100 tahun Al Imam Hasan Al Banna

Kalau dia masih hidup, maka umurnya sekarang 101 tahun. Tua sangat. Tapi dia sudah pun kembali kepada tuhannya hampir 60 tahun lepas. Jasadnya. Adapun namanya, jika dunia ini masih bertahan 1000 tahun lagi, maka ia pasti kekal 1001 tahun lagi.

Dia pencinta RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam, maka baginda pasti mencintainya juga. Justeru dia hampir memperolehi semua apa yang diperolehi baginda, kecuali nubuwwah ( kenabian ). Namanya dijulang setinggi – tingginya oleh para pencintanya di dunia. Apabila para malaikat turut mencintainya, maka sampailah namanya penuh gilang gemilang di lapis langit ke tujuh, di singgahsana pertemuan dua kekasih sebenar di malam mikraj itu.

Al Imam Hasan Al Banna meninggal dunia dalam usianya 43 tahun. Muda terlalu muda untuk meninggalkan pengikutnya yang terlalu menyayanginya. Ramai meratapi kematiannya. Di sebalik jeriji besi pemerintah kusi besi di zaman itu dan juga di luarnya. Dia ditembak mati agar dia mati selama – lamanya. Tetapi malang sekali, suaranya tak mati. Suaranya terus bergema menerawang menghantui kezaliman duniawi sambil menggamit cahaya kebenaran sehingga kini.

Beliau adalah mujaddid. beliau adalah seribu ulama. Kerana itu, beliau pergi dengan seribu ulama menggantikan tempatnya menyebarkan apa yang dikehendaki Allah untuk ugamaNya.

Tajdid adalah sunnah yang pasti untuk ugama Islam. Agama ini mesti kekal secantik dan seasli ia cantik dan asli di tangan RasuluLlah dahulu. Tiada lagi jalan, tiada lagi tali dan tiada lagi ugama selepasnya buat manusia mengenal dan menyembah tuhannya.

Sepanjang zaman, umat Muhammad sentiasa sahaja ditemani perjalanan mereka dengan para mujaddidin yang dihantar Allah untuk memperbaharui fikiran, iman dan amal mereka pada ugama mereka. Khalifah Umar bin Abdul Aziz memulakanya. Kemudian berderetanlah nama – nama ulama agung dalam sejarah umat ini.

Kita mengenali mereka pada sirah perjalanan dan pengajaran mereka. Untuk Al Imam Hasan Al Banna, kita turut mengenal wajahnya pada keasliannya. Lihatlah wajahnya, Allah melakarkan keindahan hebat yang terlukis dan terukir dalam seri wajahnya itu.

Beliau dikeluarkan untuk umat yang sedang tewas kepada kekufuran yang melanda dunia Islam secara total. Beliau menubuhkan Al Ikhwan Al Muslimin di Mesir sebaik sahaja benteng terakhir Islam, kerajaan khilafah di Turki runtuh berkecai. Saat itu, umat tersadai dalam bahtera karam dihempas gelora jahiliyah abad 20 yang mengganas seganasnya. Umat Islam sedang merentas laluan yang belum pernah dilalui sebelumnya.

Kita namakannya sebagai syumuliyyatul Islam ( Islam yang syumul ). Itulah tajdid Al Imam. Musuh menembak Islam bertalu – talu. Islam berkecai dalam kepingan – kepingan yang akhirnya hanyut dan terpisah – pisah dibedal arus ganas. Umat yang kelemasan bergayut pada kepingan mana yang mampu digapai. Sesetengahnya terus lemas ditelan badai.

Dalam tempoh yang sukar, mereka hidup di atas bahagian – bahagian yang terpisah itu. Dalam kepompong itu mereka hidup. Itulah Islam yang mereka fahami. Jika itu, tiada yang melanda kecuali perasaan putus asa, kekecewaan dan ketewasan menghadapi kehidupan.

Al Imam Hasan Al Banna datang membawa bahtera baru. Naiklah, inilah Islam yang syumul. Inilah bahtera kekuatan dan kemenangan yang dinantikan.

Dakwah dan seruannya itu cukup untuk cukup merimaskan jentera kekufuran. Kerana itu, dalam tempoh yang segera, beliau dihapuskan. Pembunuhnya bukan sembarangan. Pembunuhnya adalah pakatan kekufuran sedunia.

Biarkan pembunuh itu membunuh. Mati adalah kesudahan semua. Lunaknya, bagi pejuang Islam, kematian itulah kehidupan yang diimpikan. Al Imam telah mengecapinya. Kita sedang mengimpikannya.

Itulah catatan sekadar melepas rasa cinta. Kita para pejuang Islam hampir – hampir tidak mampu untuk melepas diri daripada legacy beliau. Kita terlalu mencintainya kerana kita tahu dia terlalu mencintai Allah dan Allah pasti mencintainya. Hasan Al Banna, dia mengajar kita mencintai Allah.

Tuhan kami, kami menagih cintaMu. Biarkan dan lepaskan kami dalam ketagihan.

Selasa, 25 Januari 2011

Hamas lambang kehebatan perjuangan Islam

KUALA LUMPUR, 24 Jan: Kejayaan parti Hamas menubuhkan kerajaan di Palestin jelas membuktikan perjuangan Islam di mana-mana sekali pun di dunia ini pasti akan mendapat kemenangan juga akhirnya, walaupun ditentang setiap masa dengan pelbagai cara oleh musuh-musuh Islam.
Hamas dan PAS merupakan parti yang mempunyai dasar perjuangan yang sama, namun cabaran yang dialami oleh para pejuang Hamas jauh lebih hebat berbanding pejuang-pejuang PAS di tanah air.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kemenangan pejuang-pejuang Hamas di Gaza jelas berlaku kerana pertolongan Allah kepada mereka, di samping pertolongan sesama manusia di serata dunia.
Menurut beliau, Hamas dan pejuang-pejuangnya bukanlah parti dan nama-nama asing bagi PAS dan umat Islam di negara ini. Oleh itu, pelbagai pertolongan kepada mereka pasti akan terus dihulurkan dari semasa ke semasa.
"Hamas adalah parti Islam yang sama juga dengan PAS di Malaysia. Perjuangan para pejuang Hamas sememangnya memberikan pelbagai pengajaran kepada umat Islam lain.
"Mereka terpaksa menempuhi jalan amat sukar untuk menang, tetapi akhirnya mereka menang juga. Itu membuktikan bahawa perjuangan atas nama iman dan Islam pasti akan berjaya walaupun terpaksa menghadapi tentangan bukan sahaja daripada orang-orang kafir, tetapi pengkhianatan dari kalangan umat Islam sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyambut kedatangan rombongan wakil Kerajaan Hamas di Gaza yang dalam kunjungan mereka untuk menemui beliau di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.
Rombongan tersebut diketuai oleh Pengarah Besar Pejabat Perdana Menteri Kerajaan Hamas, Hani I. Y. Abu Owda, manakala anggota-anggota rombongannya pula terdiri daripada Muat Haniyyah yang juga anak kepada Perdana Menteri Ismail Haniyyah, Dr Mahmoud Z. M. El Madhoun yang juga Pengarah Besar Program Latihan Diplomasi, Rami J.H. Al Ghamri yang juga jurutera dan Read Abu Dayer yang juga pegawai di Jabatan Perdana Menteri.
Selain Abdul Hadi, turut menyambut mereka di Pejabat Agung PAS termasuklah Timbalan Presiden, Ustaz Nasharudin Mat Isa, AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha dan AJK Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Mohd Faiz Nawi dan Amran Al-Malizi.
Menurut Abdul Hadi, cabaran dan keperitan yang dialami oleh para pejuang Hamas, antara lain boleh dihalusi dengan cabaran yang dialami oleh para pejuang Hizbullah di Lubnan yang menyaksikan kegagalan musuh Islam dan pihak sekular, walaupun mereka terpaksa berhadapan dengan tentangan hebat pihak musuh yang menggunakan senjata canggih.
"Kita amat sedih apabila ramai pemimpin dan pejuang-pejuang Hizbullah di Lubnan seperti Hassan Al-Bana akhirnya ditangkap akibat pengkhianatan umat Islam sendiri. Sesudah itu, golongan sekular pula yang mengambil alih tampuk pemerintahan.
"Namun akhirnya terbukti juga, golongan sekular tetap gagal. Yang berjaya adalah perjuangan Islam seperti yang berlaku di Gaza sekarang," katanya.
Apa yang berlaku di Gaza itu, katanya, sewajarnya diambil pengajaran oleh setiap pihak terutama umat Islam sendiri bagi memperkuatkan iman masing-masing agar perjuangan Islam jangan sampai dikhianati umat Islam sendiri.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar seluruh umat Islam sedar dengan kelebihan perjuangan Islam itu sendiri berbanding perjuangan-perjuangan atas nama-nama lain, bagi membolehkan semua pihak kembali bersatu atas nama iman dan Islam, sementara masih diberikan kesempatan hidup di dunia ini oleh Allah SWT.

Semangat dan keikhlasan penentu kejayaan

KUALA LUMPUR, 25 Jan: Kemenangan umat Islam dalam perjuangan bukanlah bermula dengan pilihanraya, tetapi semangat dan keikhlasan dalam perjuangan itu sendiri yang menjadi titik mulanya.

Sekiranya individu pejuang-pejuang itu sendiri mempunyai semangat yang tinggi dan keikhlasan kepada Allah di dalam perjuangannya, barulah datang pertolongan Allah dari segenap penjuru sehingga mereka memperolehi kemenangan yang diharapkan.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kemenangan sememangnya sesuatu yang payah kerana ia sudah merupakan syarat yang diberikan oleh Allah kepada umat Islam di dalam perjuangannya untuk menegakkan Islam sebagai ad-deen di muka bumi ini.

Menurut beliau, jika para pejuang Islam sendiri mempunyai asas-asas itu di dalam diri masing-masing, kemenangan pasti akan diperolehi juga akhirnya.

"Kemenangan yang diperolehi oleh umat Islam dalam perjuangan itu adalah pertolongan Allah. Jadi untuk mendapat kemenangan, kita mestilah penuhi syarat-syarat yang telah diberikan oleh Allah kepada kita," katanya selepas menyambut rombongan wakil Kerajaan Hamas di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, semalam.

Beliau turut memberikan contoh betapa sukarnya para pejuang Islam untuk mencapai kemenangan di Gaza yang terpaksa berhadapan dengan serangan pelbagai penjuru musuh-musuh Islam, tetapi dengan semangat dan keikhlasan kepada Allah, Hamas tetap juga berjaya mencapai kemenangan dan berjaya menubuhkan kerajaannya dalam pilihanraya tahun 2006 lalu.

Dalam konteks di tanah air, beliau turut menyebut kemenangan PAS di Terengganu, Kelantan, Kedah dan di Dun-Dun lain di seluruh negara yang tentunya merupakan pertolongan Allah kepada PAS, lantaran adanya semangat dan keikhlasan di hati para pemimpin dan ahli-ahli PAS sendiri kepada Allah di dalam perjuangan mereka.

Menurut beliau, kekuatan dalaman (kerohanian) itu perlu terus ditanam di dalam hati para pemimpin dan ahli-ahli PAS kerana tanpanya kemenangan tidak akan dipetolehi walaupun berusaha dengan berbagai cara.

Dalam memenuhi syarat-syarat itu, beliau turut mengingatkan para pemimpin, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS agar sentiasa menjaga akhlak dalam perjuangan termasuk ketika berkempen pada pilihanraya. 

"Sekarang, kita juga sedang berada dalam proses pilihanraya khususnya pilihanraya kecil Dun Tenang yang akan berlangsung 30 Januari ini. Jadi kepada jentera-jentera kita di Tenang, saya nasihatkan agar berkempenlah dengan sopan dan jangan terpengaruh dengan provokasi pihak lawan.

"Dengan berbekalkan akhlak yang baik, semangat yang tinggi dan keikhlasan kepada Allah di dalam perjuangan, insya Allah, akan datanglah pertolongan Allah kepada kita," ujar beliau

Ahad, 23 Januari 2011

HIJRAH: Menegarakan Islam, Mengislamkan Negara

‘Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul, maka hijrahnya itu kepada Allah dan Rasul..’
Ketika Khalifah Saidina Umar al-Khattab mengira-ngira untuk membuat satu tanda jelas bagi orang Islam tentang kalendar, banyak peristiwa penting yang boleh dijadikan batutanda itu. Peristiwa kelahiran Nabi SAW, Isra’ Mikraj, Hijrah, pelbagai peperangan yang berlaku sepanjang sejarah semuanya penting. Namun dari semua peristiwa penting itu, akhirnya Umar al-Khattab memilih peristiwa hijrah. Mengapa hijrah? Tentunya ada perkara istimewa dan kelainan berbanding dengan peristiwa-peristiwa lain.
Sebelum hijrah, Nabi SAW adalah Nabi. Demikian juga selepas hijrah. Tetapi selepas hijrah, Nabi bukan sahaja kekal sebagai Nabi, pangkat yang diberi oleh Allah tetapi juga menjadi ketua sebuah negara. Walaupun Madinah kecil sahaja di waktu itu-kecil dari segi geografi, kecil dari segi bilangan penduduk dan kecil dari segi kuasa berbanding kuasa-kuasa besar yang sudah sedia ada ketika itu-Parsi dan Rom, namun Madinah menepati ciri-ciri sebuah negara menurut sains politiknya. Ada tanah dan bumi, ada pemimpin, ada rakyat, ada perlembagaan dan ciri-ciri lain.
Hijrah menjadi batas sempadan di antara tempoh Mekah dan tempoh Madinah. Ayat-ayat al-Quran berbeza dari segi uslub dan perintah-perintahnya.  Justru, peristiwa hijrah ini sangat penting untuk dihayati oleh umat Islam agar maksud sebenar dari hijrah ini tercapai.
Latar belakang Hijrah
Nabi menyeru kepada Islam
Semenjak berada di Mekah. wahyu sudah mulai turun. Muhammad telah diangkat dan dilantik menjadi Nabi dan Rasul. Bermula dari seorang diri, Baginda mula menyebarkan Islam di kalangan keluarganya yang hampir, sahabat yang rapat dengannya agar mudah diterima. Ia berkembang sedikit demi sedikit. Begitu juga dari segi uslub dakwah, dari sembunyi hinggalah terang-terangan.
2.Para Sahabat ditindas, dizalimi hanya kerana menyatakan ‘Kami beriman kepada Allah’
Dengan sebab dakwah yang mula diterima dari kalangan penduduk Mekah, respon yang diberi oleh pembesar Quraisy adalah sangat keras. Para Sahabat ditindas, disiksa, ditekan dan diperlakukan pelbagai kezaliman. Contoh-contohnya cukup banyak. Cukup bagi kita melihat seperti Bilal bin Rabah yang disiksa begitu rupa dengan sebab hanya beriman kepada Allah, begitu juga Ammar bin Yasir dan lain-lain.
Diizin berhijrah ke Habsyah
Kezaliman dan penindasan yang dahsyat menyebabkan para Sahabat dibenarkan berhijrah ke Habsyah buat sementara waktu, sehingga tempoh untuk kembali ke Mekah selepas suasana yang sedikit mengizinkan. Bumi Habsyah hanya transit sementara, untuk perlindungan, bukan bumi sebenar menegakkan Islam dalam bentuk negara. Suasana dakwah di Mekah berlangsung sedemikian rupa selama 13 tahun. Yang didengar oleh telinga para Sahabat hanyalah ‘sabar, sabar’ hingga Allah menentukan masa dan ketika yang sesuai untuk ditegakkan Islam itu dalam bentuk pemerintahan negara.
Pemimpin Quraisy bersidang dan ambil keputusan di Darul Nadwah
Sampai waktunya Nabi memberi khabar gembira kepada para Sahabat:. Nabi bersabda, maksudnya: ‘Aku diberitahu tempat hijrah kamu iaitu Yathrib. Sesiapa yang mahu keluar, maka keluarlah ke sana.’ Para Sahabat mula mengatur langkah menuju Yathrib. Ia berlaku selepas Baiah Aqabah 1 dan 2 di antara Nabi SAW dan penduduk Yathrib yang datang mengerjakan haji. Nabi SAW menawarkan Islam kepada mereka sehingga kemudiannya berlaku Baiah Aqabah 1dan 2 itu dalam musim-musim haji. Melihat kepada perkembangan Islam yang sudah berlaku outreach di Yathrib, iaitu pengaruh yang sudah berkembang hingga ke luar Mekah, maka para pemimpin Quraisy bermesyuarat di Darul Nadwah mahu mengambil keputusan apa yang sepatutnya dibuat terhadap Nabi SAW. Dari cadangan-cadangan yang diberi, akhirnya keputusan yang dicapai ialah Nabi Muhammad SAW, Al-Amin itu mesti dibunuh. Inilah kemuncak kepada sebuah perjuangan hingga melibatkan risiko nyawa melayang.
Dengan demikian, Nabi SAW berhijrah bersama Saidina Abu Bakar as-Siddiq ra sehingga akhirnya tiba ke Yathrib di awal bulan Rabi al-Awwal Tahun pertama Hijrah.
Dalam hijrah ini pelbagai pengajaran yang kita boleh petik. Saya rumuskan melalui 5P seperti berikut:
Iktibar (5P)
Penuh strategi
 Nabi SAW membuat persediaan mencari tapak sesuai sebelum berhijrah. Yathrib bukan sahaja tapaknya sesuai bahkan penduduknya juga sudah bersedia menerima dan mempertahankan Baginda SAW. sebagai tapak tegaknya Islam. Untuk itu Baiah Aqabah 1dan Baiah Aqabah 2 menjadi tahap penting dalam dakwah Nabi. Bagi merealisasikan Baiah Aqabah supaya berjaya dan tidak bocor, penduduk Yathrib mengerjakan haji seperti orang lain di musim haji, tetapi bangun di tengah malam di Mina ketika semua yang lain masih tidur untuk berbaiah dengan Baginda SAW.
Selepas Nabi mendapat tahu tentang perancangan Quraisy mahu membunuhnya, Baginda SAW pergi ke rumah Abu Bakar di waktu tengahari dan selepas menerima perintah Allah untuk berhijrah. Waktu tengahari dipilih kerana ketika itu masing-masing sedang berihat di rumah agar perancangan Baginda tidak disedari.
Begitu juga perancangan yang dibuat oleh Saidina Abu Bakar selepas Nabi menyampaikan berita untuk berhijrah itu. Dikaderkan anak-anaknya untuk Islam. Asma menyediakan makanan, Abdullah ditugaskan mendengar khabar di pasar lalu membawa khabar berita itu kepada Nabi di Gua Thur nanti, Amir bin Fuhairah ditugaskan membawa kambing ke Gua Thur untuk didapatkan susunya dan dihilangkan kesan tapak kaki.
Sebagai usaha melambat-lambatkan dan mengelirukan pemuda Quraisy, Nabi SAW meminta Saidina Ali menggantikan Baginda di tempat tidur.
Nabi sendiri tinggal di Gua Thur selama 3 hari bersama Abu Bakar bagi memastikan misi ke Yathrib selamat. Nabi juga melalui jalan yang tidak biasa dilalui ke Yathrib agar perjalanan tidak dikesan musuh.
Semua ini menggambarkan kepada kita betapa strategi dalam menegakkan Islam itu mesti diberikan keutamaan. Bahkan secara umum, ia memberi panduan kepada semua bentuk pengurusan agar perancangan berstrategi itu diambil perhatian. Buatlah Plan A atau Plan B, usaha dan ikhtiar dari manusia, namun tawakkal dan pergantungan mesti tekad kepada Allah.
Pengorbanan
Apa yang diberi oleh para Sahabat selama di Mekah hingga bersedia berhijrah ke Yathrib ialah kerana mereka mengutamakan Islam, kehendak Allah yang mendahului kehendak diri dan peribadi. Pengorbanan para Sahabat sepanjang tempoh dakwah di Mekah bukan calang-calang. Dalam persitiwa hijrah, para sahabat bersedia meninggalkan rumahtangga, kampung halaman, harta benda kerana semata-mata menyelamatkan Islam. Kalau Islam selamat, yang lain selamat. Kalau yang lain selamat, belum tentu Islam selamat.
Pengorbanan dari Abu Bakar sepanjang peristiwa hijrah juga menjadi contoh hebat. Memasuki Gua Thur terlebih dahulu bagi memastikan keadaan selamat buat Nabi SAW, sanggup kakinya ditahan kesakitan akibat bisa binatang kerana tidak mahu mengganggu Nabi yang baring diribanya. Begitu juga Ali bin Abi Talib yang mengambil risiko besar menggantikan Nabi SAW di tempat tidur. Nyawa menjadi pertaruhan untuk sebuah perjuangan.
Persaudaraan
Bagi menegakkan pemerintahan Islam, faktor-faktor yang membantu ke arah perkara itu mesti dilakukan. Tidak mungkin Islam boleh ditegakkan jika mereka yang menegakkan Islam itu bersengketa. Tindakan Nabi SAW mempersaudarakan Aus dan Khazraj menjadi golongan Ansar adalah tindakan bijak seorang pemimpin. Aus dan Khazraj yang berperang sesama sendiri begitu lama akhirnya menjadi seperti saudara karib. Bukan mudah menyatukan mereka yang sudah berperang begitu lama. Tali persaudaraan bukannya atas dasar Arab tetapi islam. Nasionalisme sempit tiada dalam kamus Islam. Bentuk persaudaran diluaskan hingga Muhajirin dan Ansar juga dipersaudarakan. Bentuk persaudaraan ini diakui Islam sehingga di peringkat awalnya masing-masing boleh mewarisi dari saudara seislamnya yang lain hingga dibatalkan hukum itu.
Positif dan pro-aktif
Sikap umat Islam mesti positif dan pro-aktif. Ia ditunjuk oleh Nabi SAW dalam persitiwa hijrah ini. Apabila mengetahui orang Musyrikin mahu membunuhnya, terus Baginda bertindak menemui Abu Bakar dan menyiapkan perkara yang sepatutnya.
Nabi SAW sentiasa memandang masa depan Islam yang cemerlang. Dalam apa suasana sekalipun, Baginda tetap optimis dan positif terhadap Islam. Inilah sifat seorang pemimpin yang mesti diikuti oleh pengikutnya. Dalam persitiwa hijrah, ketika hanya Nabi dan Abu Bakar berada di dalam Gua Thur-tiada PBB, tiada OIC, tiada negara dan bala tentera islam yang boleh membantu, Nabi SAW bersabda kepada Abu Bakar ‘Apa sangkaan kamu dengan 2 orang, Allah yang ketiga’, suatu tarbiyyah, keyakinan dan keimanan yang jitu diletakkan dalam dada Abu Bakar. Ketika Suraqah yang mengejar Nabi dari belakang mulai takut dengan kaki kudanya yang sentiasa tenggelam dalam pasir itu meminta keamanan dari Nabi SAW, Baginda berjanji kepada Suraqah untuk diberikan gelang Raja Kisra. Satu janji yang melihat masadepan yang gemilang buat Islam walaupun negara Islam itu belum kelihatan di depan mata.
Perpindahan
Hijrah wajib di awal Islam. Namun ia berubah selepas itu: ‘Tiada hijrah selepas pembukaan Mekah tetapi jihad dan niat (yang benar)’ , ‘Jihad berterusan hingga ke hari Qiamat’
Perpindahan yang mesti berlaku di kalangan orang Islam ialah berhijrah dari perkara yang dilarang Allah ‘Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan perkara yang dilarang Allah’. Bagi seorang mukmin, falsafah hidupnya ialah hari ini lebih baik dari semalam, esok lebih baik dari hari ini dan hari-hario muka lebih baik dari hari sebelumnya.
Berpindahnya Nabi SAW dari Mekah ke Madinah ialah bagi menegakkan Islam dalam bentuk syumul-peribadi, keluarga, masyarakat dan negara. Ia bukan hijrah dari satu tempat ke satu tempat sahaja. Hijrah membawa misi dan visi yang sangat hebat. Kalau di tahun 2009 lepas, PM pernah menyebut Hijrah menepati konsep 1Malaysia, maka ia adalah omong kosong yang jauh dari falsafah, konsep dan realitinya.
Dalam konteks semasa, kita menyambut tahun 1432H dalam keadaan loceng amaran PRU13 sudah dibunyikan, hanya menunggu gendang perangnya sahaja belum diketuk. Hijrah memberi semangat kepada PAS dan Pakatan Rakyat untuk mengukuhkan konsep 5P di atas, agar berjaya dalam PRU 13 sehingga menang setelah P iaitu parti diperkuatkan, mengekal dan menambah kerusi serta menguasai dua tempat P iaitu Putrajaya dan Parlimen.

Sabtu, 22 Januari 2011

...BiDadaRi TeRcanTik...

Bidadari merupakan salah satu anugerah Allah kepada seorang lelaki yang memasuki syurga. Bagi seorang wanita yang solehah maka bidadari bagi suaminya adalah dikalangan bidadari-bidadari kurniaan Allah dan dia (isteri solehah merupakan ketua akan segala bidadari-bidadari tsb).


Bidadari Syurga Pictures, Images and Photos


Berjihad pada agama Allah merupakan satu amalan yang menjadi kesukaan Allah swt dan ini merupakan sunnah besar nabi SAW dan kalangan sahabat-sahabat. Setiap manusia yang mati wlaupun berapa umurnya maka akan ditanya dimanakah masa mudanya dihabiskan.


Kisah......

'Ainul Mardhiah merupakan seorang bidadari yang paling cantik dikalangan bidadari-bidadari yang lain (nama puteri bongsu saya yang bermaksud mata yang di redhai). Suatu pagi (dalam bulan puasa) ketika Nabi memberi targhib (berita-berita semangat di kalangan sahabat untuk berjihad pada agama Allah) katanya siapa-siapa yang keluar di jalan Allah tiba-tiba ia syahid, maka dia akan dianugerahkan seorang bidadari yang paling cantik di kalangan bidadari-bidadari syurga. Mendengar berita itu seorang sahabat yang usianya sangat muda teringin sangat nak tahu bagaimana cantiknya bidadari tersebut.... tetapi dia malu nak bertanyakan kepada Nabi kerana malu pada sahabat-sahabat yang lain. Namun dia tetap memberi nama sebagai salah seorang yang akan keluar atau pergi. 


Sebelum Zohor sunnah Nabi akan tidur sebentar (dipanggil khailulah,maka sahabat yang muda tadi juga turut bersama jemaah tadi... tidur bersama-sama....

Dalam tidur tersebut dia bermimpi berada di satu tempat yang sungguh indah, dia bertemu dengan seorang yang berpakaian yang bersih lagi cantik dan muka yang berseri-seri lalu ditanyanya di manakah dia... lalu lelaki itu menjawab inilah syurga. Lalu dia menyatakan hasrat untuk berjumpa dengan 'Ainul Mardhiah... lalu ditunjuknya di suatu arah maka berjalan dia... di suatu pepohon beliau mendapati ada seorang wanita yang tak pernah dia lihat kecantikan begitu... takpernah dilihat didunia ini... lalu diberi salam dan dia bertanya andakah ainul mardhiah... wanita itu menjawab ehh tidakk... saya khadamnya ainul mardhiah ada di dalam singgahsana sana.

Lalu dia berjalan dan memasuki satu mahligai yang cukup indah dan mendapati ada seorang lagi wanita yang kecantikannya berganda-ganda dari yang pertama tadi sedang mengelap permata-mata perhiasan di dalam mahligai.... lalu diberi salam dan di tanya lagi adakah dia ainul mardiah lalu wanita itu menjawab..eh tidakkk saya hanya khadamnya di dalam mahligai ini... 'Ainul Mardiah ada di atas mahligai sana..... lalu dinaikinya anak-anak tangga mahligai permata itu kecantikkannya sungguh mengagumkan... lalu dia sampai ke satu mahligai dan mendapati seorang wanita yang berganda-ganda cantik dari yang pertama dan berganda-ganda catiknya dari yang kedua.... dan tak pernah dia lihat di dunia.... lalu wanita itu berkata ...akulah 'Ainul Mardhiah, aku diciptakan untuk kamu dan kamu diciptakan untuk aku.... bila lelaki itu mendekatinya wanita itu menjawab... nantiii kamu belum syahid lagiiii......tersentak itu pemuda itu pun terjaga dari tidurnya lalu dia menceritakan segala-galanya kepada satu sahabat lain, namun begitu dia memesan agar jangan menceritakan cerita ini kepada Nabi SAW... tapi sekiranya dia syahid barulah ceritakan kepada Nabi.

Petang itu pemuda itu bersama-sama dengan jemaah yang terdapat Nabi di dalamnya telah keluar berperang lalu ditakdirkan pemuda tadi telah syahid. Petang tersebut ketika semua jemaah telah pulang ke masjid, di waktu hendak berbuka puasa maka mereka telah menunggu makanan untuk berbuka (tunggu makanan adalah satu sunnah Nabi). Maka kawan sahabat yang shahid tadi telah bangun dan merapati Nabi SAW dan menceritakan perihal sahabat nabi yang sahaid tadi... dalam menceritakan itu nabi menjawab benar...benar...benar... dalam sepanjang cerita tersebut. Akhirnya Nabi SAW berkata memang benar cerita sahabat kamu tadi dan sekarang ini dia sedang menunggu untuk berbuka puasa di syurga....



SubhanAllah...